Ujian saringan darah Sistem-sistem kumpulan darah manusia

Tafsiran panel antibodi untuk mengesan antibodi pesakit terhadap sistem kumpulan darah manusia yang paling relevan.

Ujian keserasian darah dilakukan sebelum pemindahan darah, termasuk pemadanan sistem kumpulan darah ABO dan sistem kumpulan darah Rh, serta saringan antibodi-antibodi penerima terhadap sistem-sistem kumpulan darah manusia yang lain. Ujian keserasian darah juga dilakukan secara rutin ke atas wanita hamil dan pada darah tali pusat daripada bayi yang baru lahir, kerana ketidakserasian darah antara ibu dan bayi menyebabkan bayi berisiko mendapat penyakit hemolitik bayi baru lahir . [9] [10] Ujian ini juga dilakukan sebelum pemindahan sel stem hematopoetik, kerana ada kemungkinan untuk berlakunya penyakit cantuman lawan perumah akut sekiranya tidak dilakukan. [11]

Sistem kumpulan darah manusia yang selain daripada ABO dan Rh mempunyai risiko komplikasi yang agak kecil apabila darah bercampur. [12] Oleh itu, dalam keadaan kecemasan seperti pendarahan teruk, transfusi darah segera adalah lebih penting berbanding ujian keserasian sistem kumpulan darah yang lain (mungkin termasuk sistem Rh juga). [12] Malahan, ujian keserasian darah selain ABO dan Rh secara amnya hanya terhad kepada pengesanan antibodi (tidak semestinya termasuk kaedah penggolongan depan darah yang dikenali sebagai "forward typing"). Namun di Eropah, wanita yang memerlukan pemindahan darah sering ditentukan antigen K dan antigen-antigen lanjutan Rh untuk mengelak daripada berlakunya pemekaan antigen ini, yang boleh merisikokan mereka untuk mendapat penyakit hemolitik bayi baru lahir sewaktu kehamilan. [13]

Apabila perlu memberi transfusi sel darah merah kepada pesakit, kehadiran antibodi-antibodi (yang penting dari segi klinikal dan dihasilkan oleh pesakit) boleh dikesan dengan mencampurkan serum pesakit dengan 2 hingga 4 jenis sel darah merah "saringan" atau "kontrol" yang bersama-sama memaparkan hampir kesemua antigen yang penting kaitannya. Jika mana-mana campuran ini memaparkan tindak balas (bukti antibodi pesakit yang terikat pada sel darah merah saringan), panel antibodi yang lebih teliti akan dilakukan (seperti yang digambarkan di sebelah kanan). [14]

Berkaitan